Dengan rendah diri, aku ingin berterima kasih kepada seluruh warga kerja Grup Buku Karangkraf khususnya penerbitan Alaf 21 kerana telah memberikan peluang kepada aku untuk menerbitkan karya sulungku.
Perasaan? Sangat teruja! Maklumlah benda baru... tambah-tambah lagi.. memang sudah lama aku menyimpan niat dan azam untuk menghasilkan karya sendiri. Dari minat bertukar menjadi kerjaya. Siapa yang tidak teruja kan?
Karya sulung ini terbit dengan pelbagai onak dan ranjau. Untuk siap sebuah novel ini... entah berapa kali aku menangis... menangis dan menangis... Allah menjadi saksi. Lebam di kelopak mata usah ditanya. Sayu hati tak terkira... mana tidaknya... ketika aku mula berkarya... tiada siapa yang memberikan sokongan. Tiada siapa yang sudi mendengar keluhan aku. Tiada siapa yang sudi meminjamkan bahu di kala aku kesedihan. Talian internet yang terhad... malah aku hanya menulis mengikut rasional dan kata hati.
Pernah aku ditertawakan ketika mengusulkan niat untuk menjadi novelis. Takkan ku lupa... sungguh! Sayu hati ketika diejek sebegitu rupa. Hinakah aku untuk menjadikan minat sebagai kerjaya? Hatiku menangis sendiri. Sekali lagi... Allah menjadi saksi peristiwa itu.
Berbekalkan cemuhan-cemuhan itulah... hari ini aku berjaya menghasilkan karya sulung berjudul Dinda Cinta Kanda.
Hebat? Tidak... aku tak sehebat penulis-penulis profilik yang sudah menghasilkan puluhan karya di pasaran. Tetapi... berkat tunjuk ajar editor-editor terutamanya Kak Saadiah dan Kak Awin... inilah hasilnya. Cantik bukan? Jangan ditujukan pujian itu sebulatnya pada aku. Malah aku rasa pujian itu selayaknya diberikan kepada mereka yang bertungkus-lumus membantu untuk memurnikan karya aku. Encik Azam, Encik Roslan, Cik Annur Aisyah terima kasih atas design kulit yang sangat comel!
Sungguh! Kalau diikutkan karya mentah aku... pasti kalian akan muntah darah membaca. Tetapi Allah dah janji, setiap kesulitan akan berakhir dengan khabar gembira. Berusahalah mencarinya. Lalu aku tabahkan diri untuk terus belajar demi melaksanakan impian aku setelah sekian lamanya terpendam.
Maka... tanggal 1 November 2013 secara rasminya... Dinda Cinta Kanda berada di pasaran seluruh Malaysia! Sederet dengan novel-novel pujaanku selama ini.
Tatkala melangkah masuk ke kedai-kedai buku... bila terpandangkan karyaku di rak novel... air mataku pasti akan bergenang. "Mak... ayah... ini buktinya! Ceq tak main-main bila ceq kata ceq nak jadi novelis. Restuilah kerjaya ceq mak, ayah... suatu hari nanti.. insyaAllah kita akan mengecap kemanisannya bersama." Doaku...
Sungguh aku sebak. Hingga kini... meskipun karya ke-2 sudah 40% digarap... hatiku masih melayan perasaan itu.
Karya ke-2 ini.. aku berdoa akan jadi lebih baik dan bermanfaat kepada semua yang membaca. Sokongan yang aku terima, pandangan yang membina membuatkan aku makin bersemangat untuk meneruskan kerjaya ini. Malah, aku sudah memasang niat... untuk berdakwah dalam setiap penulisan! Meskipun hanya sebaris ayat... meskipun hanya sepotong perenggan peringatan.. tetapi ia adalah pelaburan akhiratku.
Duhai saudara-saudari pencinta ilmu.. pencinta novel-novel Melayu... ampunkan aku andai kata Dinda Cinta Kanda tidak menepati 'selera' bacaan anda. Aku masih belajar dan akan terus belajar untuk menjadi lebih baik!
p/s: Oh ya! Ada seorang teman serumah dulu, Dila namanya. Dialah orang pertama yang membaca Dinda Cinta Cinta Kanda dalam versi "Andaiku Bercinta Lagi" yang mana karya ni sangat mentah dan belum menerima kritikan editor. Tapi cadangan-cadangannya juga antara penyumbang dalam penerbitan DCK.
Dila, kalau hang baca post ni.. PM aku laju2.
Salam sayang,
Nur Insyirah
No comments:
Post a Comment