Monday, December 9, 2013

Dinda Cinta Kanda Masuk Carta Top 10!!

Assalamualaikum, salam sejahtera.

Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Hanya itu yang mampu aku ungkapkan tatkala mataku terpandang sesuatu yang tercatat pada web Karangkraf Mall (kik sini).

Berkali-kali aku menggosok mata.. bimbang sungguh andai aku mamai atau termimpi-mimpi memandangkan dari tadi mata aku asyik kabur dan perut buat hal! Aduhh!

Pejam celik... pejam celik... Eh! Eh! Ehhhh!!!! Aku tak mimpi!!

ALLAHUAKBAR!! ALHAMDULILLAH!

Sungguh! Aku tak pernah termimpi nak masuk dalam rank bestseller! Apatah lagi mengharap jualan kebabom tinggi melangit! Tapi aku percaya ini semua berkat doa mak... doa ayah yang tak pernah jemu!

Terima kasih seluruh warga kerja Alaf 21!! 

Semangat untuk menulis kembali tinggi melangit! Sunguh aku gembira! Ini hadiah untuk mak, untuk ayah.
Terima kasih kepada para pembaca kerana menyokong Nur Insyirah dalam dunia penulisan!

Sesungguhnya, sokongan dan komen-komen postif kalian membuatkan aku bermotivasi tinggi untuk mengadap laptop dan mencoretkan kisah-kisah yang bermanfaat untuk tatapan kalian!

Kali ini... aku sudah sedikit cerdik! Sudah nampak permainan dunia penulisan berbanding dulu aku menulis dalam keadaan serba kekurangan. Serba tidak tahu!

Dan kini, aku telah menetapkan misi dan visi dalam setiap hasil karya yang bakal aku garapkan. Sungguh! Sokongan kalian ibarat janji harus aku tunaikan..

Janji apa? Janji untuk menghasilkan karya yang berkualiti... setimpal dengan setiap sen yang kalian keluarkan. Demi hobi dan minat kita yang cintakan bidang penulisan! Aku juga pembaca... dan aku juga penulis. Aku rasa apa yang kalian rasa... justeru... ini tekad aku!

Mudah-mudahan.. dengan doa dan sokongan kalian... Allah kurniakan aku idea untuk menulis cerita-cerita yang mampu menjadi tauladan dan bermanfaat pada kita semua... Amin...

Terima kasih semua!! Nah ini untuk kalian!

Sejambak tulip untuk kalian yang sudi menerima aku :)

Post ini mungkin poyo, tapi aku tak nak tertinggal setiap memori dalam bidang ini. Semua perasaan suka duka akan ku garapkan di sini. Dan ini pada yang suka sahaja. Pada yang membenci... maafkan aku. Aku tak mampu nak puaskan hati semua orang.




p/s: Tahniah kepada rakan-rakan penulis yang lain! Kesemua otai2 dalam dunia penulisan.. hanya nama aku je terselit di situ.. sungguh indah perasaan ini. Nikmat yang Allah kurniakan... Alhamdulillah... terima kasih kakak2 dan abang2 penulis yang banyak membantu! <3

Salam sayang,
Nur Insyirah

Saturday, December 7, 2013

Boling Novelist Vs Novelholic

Assalamulaikum dan salam sejahtera

Selamat bermain dan berpesta bora kepada semua novelis dan para pencinta novel tergarrr!!
Love u all so much! Ouchh too upset sebab tak dapat join... :(


Friday, December 6, 2013

Dinda Cinta Kanda [Bab 2]



                                          
gambar hiasan dari Google


"Pergh! Kau ni tengah bad mood ke? Letih aku nak sambut smash kau ni, Faiq! Agak-agaklah... kita bukannya nak masuk tournament!” jerit Mus dalam suara yang tercungap-cungap. Tak cukup nafas dibuatnya bila berlawan tenis dengan Tengku Faiq, sahabatnya yang telah dikenali sejak mereka sama-sama menuntut di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Architecture.

“Baru tiga puluh minit dah semput?” balas Tengku Faiq.

“Hei, aku bukan Farel yang champion dalam tenis ni. Kau salah orang!” Mus tidak puas hati.

“Farel sibuk dengan urusan majlis kahwin dialah. Kalau tak, dia pun aku kacau. Dahlah... break. Nanti 
semput pulak kawan aku ni.” Tengku Faiq menuju ke arah bangku di tepi gelanggang tenis. Tuala kecil yang terselit di tepi beg sandangnya di atas bangku itu dicapai lalu dikesat mukanya yang basah dengan peluh. Botol air mineral dicapai pula dan diteguk rakus. Pandangannya diarahkan pula pada Mus yang tajam memerhatikan dirinya. Faham benar dengan reaksi sahabatnya, Tengku Faiq mengangkat dua belah tangannya tanda menyerah kalah.

“So, what’s up? Apa yang kau moody sangat ni?” soal Mus tanpa berlapik.

gambar hiasan dari Google


“Adif...” jawab Tengku Faiq ringkas.

“Adif lagi... apa pula kes dengan bini kau kali ni?”

“Aku nampak dia dengan lelaki lain kat KLCC dua hari lepas. Aku syak lelaki tu ada hubungan dengan dia. Mesra betul siap peluk cium lagi. Lelaki tu pun nampak muda. Macam anak ikan dia aje,” luah Tengku Faiq. Hatinya membara apabila mengenangkan apa yang dilihatnya.

“Mungkin tu saudara dia yang kau tak kenal? Kau dah tanya Adif ke pasal ni?” Mus cuba meredakan keadaan. Padanya, biarlah disiasat sedalam-dalamnya terlebih dahulu sebelum menghukum. 

Tengku Faiq mendengus kasar. “Dia memang ada agenda tersembunyi nak kawin dengan aku, Mus.”

“Mana kau tahu dia ada agenda? Entah-entah dia memang ikhlas terima cadangan abah kau tu. Tak baik tuduh isteri kau macam tu, Faiq. Walaupun kau tak cintakan dia, tak ada perasaan sayang pada dia, tapi kau tak boleh treat dia macam ni. Dia layan anak kau elok, jaga makan pakai kau, jaga rumah tangga kau, kau nak apa lagi? Kau kena belajar terima hakikat yang Sara dah tak ada, Faiq. Sekarang ni, Hadif Aufiah tu isteri kau. Belajarlah terima kenyataan dan amanah baru dalam hidup kau, Faiq.” Panjang lebar bicara Mus membuatkan Tengku Faiq terdiam.

“Faiq, Sara is your past. Move on, Faiq. Keluarga kau dah lengkap dengan kehadiran Adif sebagai isteri kau sekarang,” sambung Mus lagi.

“Tapi, Mus... dia tak mampu gantikan tempat Sara di hati aku. Dia tak mampu, Mus. Hari-hari bila aku pandang muka dia, aku rasa benci. Aku benci sebab aku dah menduakan cinta Sara. Lagi-lagi pulak dengan sikap pelik dia tu. Aku tak boleh terima, Mus! Dia dengan Sara macam langit dengan bumi!”

“Inilah masalah kau, Faiq. Kau tutup pintu hati kau dari melihat kebaikan orang lain. Sara dah tak ada! Sekarang kau ada Adif! Jangan sia-siakan anugerah dan amanah yang diberikan pada kau, Faiq. Kalau Adif itu tak sesempurna Sara di mata kau sekali pun, itu tugas kau untuk mencorakkan hala tuju rumah tangga kau. Bincanglah elok-elok dan bukannya nak tunding jari dan salahkan Adif semata-mata,” ujar Mus sambil menepuk-nepuk bahu Tengku Faiq seolah-olah memberikan semangat kepada sahabatnya.

Tengku Faiq hanya mendiamkan diri. Kepalanya didongakkan, merenung langit membiru dan awan memutih yang berkepul-kepul. Di situ, dia seolah-olah ternampak wajah arwah isterinya, Maisara yang telah kembali ke rahmatullah ketika bertarung nyawa melahirkan zuriatnya. Namun perlahan-lahan wajah itu menghilang dan diganti dengan wajah isterinya kini, Hadif Aufiah. Wanita itu merupakan pilihan abah untuk menjadi pengganti Maisara sekali gus menjadi mama kepada puteri tunggalnya.

Akur dengan permintaan abahnya, Tengku Faiq menamatkan zaman dudanya dengan wanita yang dianggap misteri. Berkali-kali telinganya disumbatkan dengan puji-pujian yang melambung mengenai kebaikan dan sifat keibuan Hadif Aufiah oleh abahnya, tetapi hati kecilnya menolak semua kenyataan itu kerana telah dikunci dengan cinta Maisara!

“Aduh!” jerit Tengku Faiq apabila terasa sengal di bahunya akibat diketuk dengan raket tenis.

“Padan muka. Aku dok membebel kat sini, dia boleh sedap-sedap berangan. Amboi, teringatkan Adif ke? Bagus! Masuk jugak ceramah free aku dalam kepala kau tu,” ujar Mus dalam tawa yang masih bersisa. 
Sengaja dia membakar hati sahabatnya.

“Tolonglah... buang masa aku je ingatkan dia,” balas Tengku Faiq angkuh.

“Weh, kau jangan cakap besar Faiq. Entah-entah lepas ni kau yang sasau kena penangan cinta Adif!”

“In your dream, Mus! Dahlah, jom balik. Layan kau ni tambah serabut kepala aku. Ajak main tenis kejap pun dah semput.” Tengku Faiq bingkas bangun dan mengemaskan beg sukannya.

“Nak balik sebab tak sabar nak jumpa bini ke?”
Kata-kata Mus tidak diendahkan oleh Tengku Faiq. Dia hanya mencebik mendengar kata-kata sahabatnya.

‘Faiq... Faiq... keras betul hati kau,’ bisik hati Mus.

Sahabatnya masih belum menerima hakikat yang kini dia telah kembali bergelar suami walaupun baru empat bulan berkahwin dengan Hadif Aufiah. Di hujung minggu, Tengku Faiq kerap mengajak dirinya dan Farel keluar dan adakalanya mereka berkelah bersama-sama Tengku Auni Ufairah, satu-satunya puteri tunggal Tengku Faiq.

Kehadiran Hadif Aufiah seolah-olah ditidakkan. Malah, sahabatnya sanggup pulang lewat dan bertapa di pejabat mereka. Banyak kerja yang sepatutnya dilakukan oleh staf bawahan mereka, tetapi diambil alih oleh Tengku Faiq sedangkan dia merupakan peneraju utama di syarikat itu. Tengku Faiq benar-benar cuba menidakkan kehadiran Hadif Aufiah dalam hidupnya!

“Hah! Yang kau ni berangan apa pulak?” Herdikan kecil Tengku Faiq membuatkan Mus tersenyum.
Mus menekan alarm kereta Nisan Murano berwarna hitam miliknya. Raket tenis dan beg sandangnya disumbatkan ke dalam boot kereta lalu ditutup rapat. Manakala Tengku Faiq pula hanya bersandar sambil memeluk tubuh di sisi BMW 7 Seriesnya yang juga berwarna hitam. Warna kegemaran mereka. Raket tenis dan beg sandang yang dikendong tadi hanya diletakkan di atas boot kereta.

“Agak-agak kaulah, Adif dah ada boyfriend ke sebelum ni?” soal Mus.

“Apasal kau tanya macam tu?”

Mus tersengih bila Tengku Faiq tajam merenungnya.“Tak adalah. Sebelum ni, kau kutuk dia bagai nak rak. Playgirl, kaki kikislah, tapi aku tengok Adif tu macam jenis homey je. Bukannya jenis kaki rambu ke, kaki lepak ke macam yang kau selalu momokkan dekat aku tu.”

Mata Tengku Faiq mengecil. Tajam mataya memandang Mus yang seolah-olah sedang membayangkan isterinya. “Amboi... kau usha bini aku baik punya?”

“Eleh... jealous pulak. Kata benci...” Meletus ketawa Mus bila melihat reaksi muka sahabatnya yang berkerut-kerut.

“Baik sikit ya... Tak kuasa aku nak cemburu kalau pasal dia tu. Dia tu hipokrit. Kaki bodek pun ya.” Tengku Faiq mendengus kasar.

Mus menggeleng bila mendengar rungutan Tengku Faiq mengenai Adif. Bukan kali pertama telinganya disajikan dengan kata-kata sedemikian. 

“Jangan lupa esok kita bincang pasal pelan banglo Datuk Muzafar tu,” pesan Tengku Faiq sebelum menghidupkan enjin keretanya.

“Kata nak serah kat budak kita projek tu?” tanya Mus kehairanan. Setahunya, projek perumahan dikendalikan oleh staf-staf kepercayaan mereka. Tengku Faiq hanya memantau dan mengikuti perkembangan setiap fasa. ‘Betul-betul sengaja ‘menyibukkan’ diri si Faiq ni.’

“Alah... walaupun kita bos, tapi tak bermakna kita lepas tangan projek macam ni pada staf saja. Aku tau kau pun sibuk dengan projek-projek lain. Tapi, ni klien utama kita, aku cuma nak bincang dengan kau dan Farel pasal konsep dan layout yang staf kita buat. Itu aje,” balas Tengku Faiq.

“Okeylah kalau macam tu. Jumpa esok kat ofis. Kau jangan nak melencong ke lain pulak. Balik ke rumah terus. Ingat sikit isteri dengan anak kat rumah tu.” Sengaja ditekan perkataan isteri untuk mengingatkan sabahatnya supaya tidak lepas tanggungjawab.

“Yalah... aku jalan dulu,” balas Tengku Faiq ringkas, sebelum memecut BMW 7 Series itu.

“Bilalah kau nak berubah, Faiq...” keluh Mus perlahan. Dia masih memerhatikan kereta Tengku Faiq yang kian hilang daripada pandangannya.

“Faiq dah kahwin dua kali, Farel on the way nak kahwin. Aku jugak yang menyendiri,” rungut Mus. Di mindanya terimbas raut wajah seseorang yang telah lama terpisah dengannya.

Gear pandu ditolak. Perlahan-lahan Murano hitam itu meninggalkan parkir kompleks sukan yang sering menjadi kunjungannya bersama Tengku Faiq dan Farel pada waktu lapang.




Bersambung.....

Dinda Cinta Kanda [Bab 1]




"Adif!
Adif mencari-cari arah suara yang menjerit lantang memanggil namanya hinggalah dia terpandang seraut wajah yang tegang dan masam mencuka itu.
‘Ah sudah... bala dah datang ni. Telan jeruk berapa balang gamaknya si Faiq ni,’ bisik hati kecilnya.
“Ya suamiku Tengku Faiq, sayang... saya belum pekak lagi...” Adif berlagak biasa malah suaranya sengaja dilunakkan walaupun dia tahu riak wajah suaminya itu menunjukkan peperangan bakal meletus bila-bila masa sahaja.
“Oh, aku ingat dah pekak. Dari tadi aku jerit-jerit panggil kau apasal kau tak sahut? Boleh tak kalau sehari kau tak sakitkan hati aku?” tengking lelaki itu.
“Ala... kanda sakit hati ke? Maaflah, dinda tersengaja tak menyahut. Tengoklah kanda panggil dinda macam mana? “Woi, Adif! Kau kat mana?!” Macam tu ya kanda manja-manjakan isteri? Jadi, tak salahkan kalau dinda buat tak tahu aje?” Adif masih beriak selamba. Malah, panggilan sayang tadi sudah bertukar menjadi kanda pula.
Matanya dikedipkan berkali-kali dengan senyuman lebar yang seakan-akan mengejek. Adif seakan ingin ketawa melihat wajah Tengku Faiq memerah dan bibir lelaki itu diketap kuat. Adif mula mengorak langkah ke dapur meninggalkan Tengku Faiq yang masih menyinga.
“Aku tak habis cakap lagi, Hadif Aufiah!” Tengkingan Tengku Faiq menghentikan langkah Adif.
“Tadi lunch makan jeruk ke sup tebuan? Atau kedua-dua sekali?” Mendatar saja ton suara Adif. Bosan apabila dirinya selalu menjadi sasaran amukan dan marah Tengku Faiq.
Tengku Faiq bengang. “Tak payah nak buat muka bosan. Kau tahu sebab apa aku marah sekarang ni?”
“Tak tahu. Cuba kanda terangkan... Maklumlah dinda ni blur sikit. Dulu, masa kelas psikologi dinda tak fokus. Kanda yang bijak bestari sampai master ni mestri pro, kan? Jadi, katakan apa yang terbuku di hati kanda tu?” Selamba Adif membalas pertanyaan Tengku Faiq.
Shut up! Sakitnya hati bila cakap dengan kau ni! Tak payah nak berkanda-dinda boleh tak?! Geli! Geli tahu?!” Wajah Tengku Faiq semakin menyinga. Dia bengang apabila Adif seolah-olah mengejek dirinya.
“Baguslah. Tak payah cakap. Jadi, kanda tak perlulah nak marah-marah. Bukan apa... tak elok marah-marah ni. Kanda boleh kena darah tinggi nanti... Kesian... belum umur 40 dah kena darah tinggi. Silap-silap kena heart-attack sekali. Hisy... mintak dijauhkan. Nanti dinda jadi janda berhias pulak, kan?” Adif masih selamba sedangkan suaminya bagaikan singa lapar yang mahu menerkam mangsanya.
“Kau!” Tangan Tengku Faiq sudah diayunkan hampir mengenai pipi mulus Adif.
“Babah!” jerit seorang kanak-kanak yang tiba-tiba muncul.
Tengku Faiq tergamam. Tangannya hampir-hampir melekap ke pipi isterinya. Adif juga terkedu dengan tindakan drastik suaminya.
“Babah... kenapa babah marah mama?” Suara si kecil itu serak menahan tangis.
“Syhhh... diam sayang. Jangan nangis ya. Jom ikut mama. Kita main kat luar nak?” Adif segera berlalu sambil mendukung Tengku Auni Ufairah. Jelingan tajam dihadiahkan kepada Tengku Faiq yang terkaku di situ. Hampir-hampir pipinya ditampar oleh lelaki itu tadi.
Tengku Auni yang masih menangis dipeluk erat. Mungkin masih terkejut apabila melihat babahnya dalam keadaan yang amat bengis. Mungkin itulah kali pertama dia melihat babahnya dalam keadaan demikian sedangkan dirinya sudah acap kali melihat dan menjadi mangsa lepas geram Tengku Faiq sejak mereka sah bergelar suami isteri empat bulan lalu.

gambar hiasan dari google


Tengku Faiq menghempaskan tubuhnya di atas katil. Hatinya masih panas. Marahnya belum reda, namun terdetik rasa kasihan dan kesal apabila mengenangkan anaknya yang kelihatan takut melihat dirinya sebentar tadi.
“Arghhh! Ini semua angkara perempuan tak sedar diri tu. Kalau tak... hidup aku tak kucar-kacir macam ni.” Tengku Faiq mengeluh. Dia bangun lalu melangkah ke balkoni untuk mengambil angin petang. Lebih tepat lagi menyejukkan hatinya yang panas.
Pandangannya terarah ke taman mini di halaman rumahnya. Kelihatan Tengku Auni dan Adif sedang duduk dan bergurau senda di tepi kolam ikan. Damai seketika hatinya melihat senyuman yang terukir di bibir puterinya. Namun bila melihat senyuman Adif yang penuh sinis dilemparkan ke arahnya serta-merta hatinya panas kembali.
Senyuman itu seakan-akan mengejek dirinya yang kalah dengan permainan perempuan misteri itu. Kalau tak kerana campur tangan abah, pasti perkahwinan dia dengan Adif takkan terjadi. Namun segalanya sudah terlambat. Adif bijak menjerat dirinya hingga ke gerbang perkahwinan yang semakin hari meyesakkan nafasnya! Ada sahaja perilaku Adif yang menyakitkan hatinya. Tengoklah tadi... hatinya meluap-luap rasa marah boleh si Adif sengaja membakar lagi dengan panggilan klasiknya. ‘Kanda konon... uwekkk! Aku belum mengalah, Adif!’

gambar hiasan dari google


Adif melihat suaminya melangkah masuk semula ke bilik dengan wajah tegang. Sengaja dilemparkan senyuman sinis kepada suaminya sambil mengusap-usap kepala Auni yang ketawa apabila melihat ikan-ikan di dalam kolam itu timbul berebut makanan.
Bibirnya mencium pula ubun-ubun puteri tunggal Tengku Faiq. Sayangnya tumpah seikhlas hati kepada Tengku Auni Ufairah.
‘Adif... tabahkan hati. Kalau dia jadi api... biar kau jadi air. Ingat misi utama kau, Adif. Jangan semuanya musnah akibat sama-sama nak pertahankan ego. Macam-macam yang kau dah lalui... Ini hanya cebisan pahit dunia kau sekarang sebab Auni adalah yang utama dan harus diutamakan. Diam bukan bererti kau kalah, Adif... Sabar Adif!’ Hati kecilnya membisik kata-kata semangat. Hanya itu yang menjadi kekuatannya. Doa dan semangat.
Hatinya mengakui ada agenda tersembunyi di sebalik perkahwinan dia dan Tengku Faiq. Agenda yang menyebabkan Tengku Faiq begitu membenci dirinya. Tetapi agenda itu bukan untuk kepentingan dirinya. Tengku Faiq langsung tidak tahu, tidak faham dan tidak mahu faham. Disebabkan itu juga lelaki tu sering memberontak. Mengenangkan dirinya selalu dimaki dan menjadi tempat untuk suaminya melampiaskan rasa marah, Adif mengasuh hatinya untuk lebih tabah.
“Mama!”
Lamunan Adif terhenti. Senyuman manis dihadiahkan kepada Auni yang tidak berkedip memerhatikannya.
“Ya sayang. Sayang mama lapar ke?”
“Taklah. Mama sedih ke?” Wajah si kecil itu kelihatan polos sekali. Tangan kecil yang mengusap-usap pipi Adif dipegang dan dicium.
“Mama tak sedih, sayang. Mama fikirkan banyak benda tadi.” Adif membalas lembut.
“Mama fikir pasal babah marah mama ke?”
Adif tersenyum. “Ya. Auni tolong mama pujuk babah nak?”
“Nak! Auni tahu nak buat apa kalau babah merajuk!” Tengku Auni kelihatan teruja dengan cadangan mama tirinya.
“Sayang mama ni bijaklah. Okey, cuba bagitau mama apa yang mama kena buat untuk pujuk babah tu?” Adif mengikut rentak Tengku Auni.
“Tapi kena bisik. Tak boleh cakap kuat-kuat. Mama tunduk sikit, Auni nak bisik.”
Gelagat Tengku Auni mencuit naluri keibuan Adif. Hatinya diulit bahagia dengan kehadiran puteri cilik itu. Sungguh pun dugaan demi dugaan datang silih berganti dalam hidupnya, namun ada secebis kebahagiaan yang sentiasa menemani dirinya tanpa sedar. Adif hanya tersenyum mendengar cadangan puteri kecil itu.




bersambung....